@arRiqabKL

PERTUBUHAN KEBAJIKAN AR RIQAB KUALA LUMPUR @ Ar Riqab KL [No. Berdaftar Pendaftar Pertubuhan / R.O.S. : PPM-016-14-0310] yang telah ditubuhkan pada Tahun 2019 dengan mensasarkan Golongan Rentan @ “Vulnerable Community” di sekitar Kuala Lumpur khususnya sekitar Chow Kit; terdiri daripada kalangan wanita, ibu tunggal dan anak, remaja, warga  emas, bekas banduan, penyalah-gunaan bahan terlarang, penghidap penyakit kronik yang boleh menguruskan diri sendiri (“non-bedridden”), transgender (komuniti hijrah), pekerja seks dan golongan rentan yang lain. Bermula dengan mengagihkan bantuan makanan yang dimasak sendiri, makanan kering, tuala, pakaian terpakaian, alatan dapur dan sebagainya dengan berjalan kaki secara   berkumpulan seramai 5 – 7 orang.

Tahun 2020 – 2021, dunia dilanda pandemik COVID-19, ramai golongan   rentan sukar mendapatkan makanan. Dengan inisiatif berkumpulan, kami memasak dan mengagihkan makanan dengan meletakkan makan di “hotspot” yang menjadi tumpuan ramai golongan ini. Ar Riqab merupakan satu-satunya NGO yang masih mengagihkan makanan di sekitar Chow Kit sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tahun 2022 – 2023: Bukan sahaja mengagihkan makanan, Ar Riqab KL mengorak langkah penambahbaikan dengan mula menerima lawatan daripada pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan serta Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain, sama ada dari dalam dan luar negara untuk tujuan pertukaran dan perkongsian program- program yang dianjurkan dan dijalankan masing-masing. Kerjasama strategik antara agensi terbabit  dengan Ar Riqab KL berlangsung sepanjang tahun. Antaranya adalah Kelas Mengaji Al-Quran/Iqra’ dan Kelas Pengajian Islam yang berlangsung setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, DBKL.

Tahun 2024: Ar Riqab KL telah membuka pintu Pusat Kebajikan Dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh (STNQ) pada tanggal 3hb Januari 2024 bersamaan 21 Jamadil Akhir 1145H; dengan menjadikan pusat ini sebagai Pusat Hentian Bersepadu @ “One Stop Centre” yang menawarkan perkhidmatan Pusat Singgah @ “Drop-in-Centre”; tempat istirehat, makan dan riadah, tempat mandi, dan mencuci pakaian kerana kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai tempat untuk ditujui. STNQ juga turut mengadakan aktiviti kerohanian dan keagamaan seperti Kuliah Dzuhur Pengajian Islam, kelas Mengaji Al Quran/Iqra’, dan Solat Berjemaah. Disamping itu juga, setiap sehari seminggu, STNQ mengadakan khidmat sokong bantu rakan sebaya atau “peer support”, perkongsian pengalaman atau “sharing session”, sesi kaunseling bersama kaunselor jemputan, rujukan kesihatan ke hospital dan klinik berdekatan.

OBJEKTIF

  1. Memberikan perlindungan sementara kepada golongan orang papa, wanita, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang terabai dan tidak mempunyai keluarga.
  2. Menjaga kebajikan golongan asnaf ar-riqab di Kuala Lumpur, khususnya di Chow Kit.
  3. Menjalankan program yang mampu memperkasakan golongan asnaf ar-riqab di Kuala Lumpur, khususnya Chow Kit, bagi tujuan penerimaan semula masyarakat.
  4. Menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran yang diperlukan kepada golongan asnaf ar-riqab di Kuala Lumpur, khususnnya di Chow Kit.
  5. Menjalankan program-program yang mampu meningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf ar-riqab di Kuala Lumpur, khususnya di Chow Kit.
  6. Menyediakan khidmat rujukan, sokong-bantu dan kesihatan asas yang diperlukan oleh golongan asnaf ar-riqab di Kuala Lumpur, khususnya di Chow Kit.
  7. Menjalankan program yang mampu mengubah stigma dan pandangan masyarakat terhadap golongan asnaf ar-riqab di Kuala Lumpur, khususnya di Chow Kit.

MISI: Membantu golongan rentan yang terpinggir agar mendapat peluang setara, sokongan dan manfaat yang disediakan oleh kerajaan, sekaligus menghapuskan stigma.

VISI: Meningkatkan kesejahteraan hidup agar mereka dapat kembali hidup seperti biasa dan kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

PERKHIDMATAN TERAS UTAMA

Tempat Perlindungan Sementara yang Selamat/ Istirehat

Kemudahan tempat singgah untuk beristirehat bagi rakan jalanan yang tidak mempunyai tempat perlindungan tetap, kehilangan tempat bergantung, selesa & selamat.

Pembangunan Sosial & Kerohanian

Kelas Mengaji Al Quran/Iqra’, Pengajian Islam/ Tazkirah Agama, motivasi berkumpulan (sharing session) & aktiviti sukarelawan/kemanusiaan.

Sokongan & Rujukan

Sokong bantu rakan sebaya (peer support) untuk membantu menangani cabaran psikologi & emosi. Rujukan ke Hospital/Klinik, Baitulmal, JPN, JKM & lain-lain.

Program Latihan & Bimbingan

Pendidikan, latihan kemahiran & bimbingan; Pengukuhan Psiko-sosial, Pembangunan Sosio-ekonomi & Pembentukan Semula Karektor.

Hubungi Kami

Pusat Kebajikan & Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh

25, Jalan Thamboosamy off Jalan Putra, 50350 Chow Kit KL

Masa Operasi

Isnin – Sabtu

9pg – 4ptg

e-Mel

[email protected]

Telefon

+(60)3 – 4051 0780

+(60)17 – 388 5161

Peta/ Sosial Media

Jom singgah ke Singgah Teduh Nur Qaseh (STNQ); untuk memahami dan mengalami sendiri isu-isu sosial dan kemanusiaan. Bersama-sama kami menyantuni golongan rentan/rakan jalanan selaras dengan motto kami: “Memanusiakan Manusia”.

Terima Kasih & Selamat Beramal!